by klasikko in
Community Shield

Seorang peminat telah merakamkan detik bek tengah Liverpool, Virgil van Dijk yang menyebabkan pemain Manchester City marah semasa aksi Perisai Komuniti Sabtu lalu.

Liverpool memenangi trofi pertama kempen 2022/23 hasil kemenangan 3-1 ke atas pasukan Pep Guardiola di Stadium King Power.

Trent Alexander-Arnold membuka jaringan pada minit ke-21, manakala pemain gantian City iaitu Julian Alvarez menyamakan kedudukan pada pertengahan babak kedua.

Bagaimanapun, gol lewat daripada Mohamed Salah dan Darwin Nunez melakarkan kemenangan buat pasukan Jurgen Klopp.

Jaringan penalti Salah yang dirakam peminat telah dimuatnaik ke media sosial dan tindakan Van Dijk yang menjadi tumpuan.

Erling Haaland yang mempamerkan persembahan hambar menentang The Reds pada penampilan sulung kompetitifnya untuk City, dilihat meminta bola ketika pemain Liverpool berlari meraikannya.

Penyerang Norway itu mahu meneruskan permainan secepat mungkin, begitu juga dengan rakan sepasukannya yang lain.

Tetapi Van Dijk menendang bola sekuat hati keluar dari kawasan permainan dalam usaha mencuba membuang beberapa saat berharga.

Walaupun City tidak dapat melakukan sepak mula dengan pantas kerana pemain Liverpool belum kembali ke kawasan sendiri, telatah Van Dijk masih menimbulkan kemarahan mereka.

Beberapa pemain mengadu kepada pengadil Craig Pawson, manakala Rodri dilihat cuba untuk mendekati pemain Belanda itu yang berjoging secara santai.

Van Dijk dan rakannya kini akan memulakan persiapan mereka untuk perlawanan pembukaan musim baharu Premier League.

The Reds bertandang ke Fulham yang baru dinaikkan ke EPL untuk memulakan kempen baru dengan kemenangan yang meyakinkan.

Skuad kendalian Klopp kemudian akan menentang Crystal Palace di Anfield dalam perlawanan kedua, sebelum pertembungan genting menentang Manchester United di Old Trafford pada 22 Ogos.

Share Post:

Related Posts