by klasikko in
UEFA Champions League

7 Mei 2019 akan sentiasa menjadi salah satu hari terhebat dalam sejarah Liverpool.

The Reds memerlukan keajaiban untuk mengatasi Barcelona dalam perlawanan separuh akhir kedua UEFA Champions League di Anfield.

Malah, mereka ketinggalan jauh setelah ditumbangkan 3-0 pada perlawanan pertama di Camp Nou.

Tetapi Liverpool menghasilkan kebangkitan luar biasa untuk menang 4-0, sekaligus mara ke pentas final.

Gol keempat mereka pada malam itu dijaringkan oleh Divock Origi susulan sepakan sudut pantas oleh Trent Alexander-Arnold.

Alexander-Arnold melihat pemain Barcelona yang terleka sejenak dan melakukan hantaran silang dengan sempurna untuk Origi.

Penyerang Belgium itu tidak membuang masa merembat bola dari jarak dekat untuk menewaskan Marc-André ter Stegen.

Tetapi gol itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa tindakan pantas oleh ball boy Liverpool, Oakley Cannonier.

Cannonier serta-merta mengagihkan bola ke Alexander-Arnold, membenarkan bek kanan itu menghantar bola kepada Origi yang tidak dikawal langsung oleh pemain Barca.

Tetapi apa yang telah berlaku kepada Cannonier sejak kenangan manis itu?

Ternyata anak muda berkenaan kini berusia 17 tahun, berpotensi besar untuk menjadi pemain bola sepak yang handal.

Cannonier iaitu seorang pemain penyerang telah menjaringkan gol pertama untuk pasukan bawah 18 tahun Liverpool, hanya beberapa bulan selepas aksinya di separuh akhir UCL.

Beliau terus bermain dan pada permulaan musim, Cannonier menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama kelab itu.

Beliau telah membalas kepercayaan Liverpool untuk memberikan kontrak itu kepadanya.

Menurut Transfermarkt, Cannonier telah menjaringkan 19 gol dalam hanya 16 perlawanan Premier League B-18 pada kempen kali ini.

Beliau umpama sebuah mesin gol dengan prestasi luar biasanya di depan gawang berterusan apabila menjaringkan dua gol untuk Liverpool B-19 dalam kejohanan Piala Al Abtal.

Cannonier berkongsi pengalaman dengan laman web rasmi, LiverpoolFC.com mengenai perlawanan menentang Barcelona hampir tiga tahun lalu.

Beliau berkata: “Liverpool semakin jauh ketinggalan, jadi jurulatih kami Carl memesan supaya mengedarkan bola dengan lebih pantas.

“Semuanya perlu cepat dan saya perlu memastikan bola sentiasa berada di atas padang.

“Keesokan harinya, saya pergi ke sekolah dan semua peminat Liverpool di sekolah datang kepada saya dan berkata, ‘Kamu telah membantu kami memenangi perlawanan!’

“Saya terpaksa berlari ke bilik kelas lain kerana begitu ramai orang yang berebut datang menjumpai saya.

“Ia masih berlegar di fikiran saya. Ramai orang yang menghubungi saya di media sosial dan menganggap saya sebagai legenda Liverpool.”

Share Post:

Related Posts