
Beberapa musim lalu, Abou Diaby mengumumkan persaraan beliau daripada kancah bola sepak. Ia bagaimanapun bukanlah sesuatu yang beliau pinta.
Pada saat beliau bersara pada usia 32 tahun, karier Diaby tidak berjalan lancar seperti mana yang beliau sendiri impikan.
Mendengar nama Diaby, para peminat bola sepak lebih dekat untuk mengenali beliau mengenai isu kecederaan beliau berbanding pencapaian di atas padang.

Pada Januari 2006, Arsenal menandatangani Diaby daripada Auxerre dengan nilai perpindahan sebanyak £2 juta. Diaby pada ketika itu berusia 19 tahun dan Arsene Wenger memberitahu Diaby ialah penambahan kepada skuad mereka ketika itu.
Minat Pada Bola Sepak
Diaby merupakan anak kepada seorang pemandu trak jarak jauh di Perancis. Minat beliau pada bola sepak telah hadir ketika saat Perancis memenangi Piala Dunia 1998.

Beliau meminati lagenda Arsenal, Patrick Vieira dalam kejohanan tersebut dan menggelarkan Vieira sebagai monumen bola sepak Perancis.
Diaby Dan Patrick Vieira
Diaby turut dijadikan perbandingan dengan lagenda Arsenal, Patrick Vieira. Kedua-dua pemain memiliki ketinggian, kelebihan di bahagian tengah dan mampu mendominasi perlawanan.
Diaby mengagumi kebolehan Vieira. Malah Vieira turut memuji Diaby pada 2012.
“Saya kecewa dengan isu kecederaan yang melanda Abou Diaby.

“Jika beliau mampu meningkat secara konsisten, beliau mampu ke tahap terbaik. Mengenai keupayaan, beliau lebih baik daripada saya.
“Lebih baik dalam tahap teknikal, memiliki gelecekan yang baik dan mampu menjaringkan gol juga. Dalam satu perkataan, beliau lebih versetail berbanding saya,” kata pemenang Piala Dunia 1998 itu.
Segalanya Bermula
Bagaimana isu kecederaan yang melanda Diaby boleh melarat sehingga bermusim, ia boleh disimpulkan daripada satu perlawanan Premier League.
Arsenal bertemu Sunderland. Diaby telah diterjah dengan keras oleh Dan Smith sehingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian buku lali beliau.

Arsene Wenger mengkritik tindakan pemain lawan tersebut. Kecederaan itu telah memberi bayangan, karier Diaby mungkin bakal berakhir selepas itu.
Bagaimanapun, selepas tiga kali pembedahan dan lapan bulan tempoh rehabilitasi, Diaby kembali ke kancah bola sepak.
Namun, ia tidak seperti dahulu. Bagaikan potret yang patah, ia tidak akan sama apabila dicantumkan semula. Tidak akan indah seperti pertama kali melihatnya.
Kecederaan otot dan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) menghiasi karier Diaby selepas itu. Namun Wenger tetap percaya Diaby mampu bangkit kembali.
Tanggapan Wenger tidak salah. Diaby mempamerkan belang beliau yang tersendiri dalam aksi liga bertemu Liverpool pada musim 2012/13.
Arsenal menang 2-0 dalam perlawanan tersebut dengan Diaby menjadi penghias perlawanan. Beliau mempamerkan penyokong di Anfield dengan gelecekan, tenaga beliau dan dominasi beliau di bahagian tengah.
Namun seperti biasa, Diaby selepas itu kembali dipalit dengan masalah kecederaan dan sehinggalah beliau akhirnya dilepaskan Arsenal pada musim 2015.
Dalam tempoh 10 musim bersama Arsenal, Diaby hanya mampu beraksi sebanyak 124 perlawanan
Wenger menzahirkan kesedihan beliau ketika itu kerana gagal menjadikan Diaby seperti mana yang seharusnya beliau jadi.

“Ia satu detik yang sedih untuk Arsenal apabila kami tidak berpeluang mendapatkan prestasi terbaik Diaby kerana kecederaan.
“Saya sangat sedih kerana pemain ini hebat dan bakat yang bagus. Ia sangat sedih kerana beliau tidak sepatutnya menerima nasib seperti ini.
“Beliau sentiasa di bersedia setiap hari namun sayangnya beliau tidak memiliki peluang. Beliau sangat dekat untuk menjadi seperti Patrick Vieira. Ia sangat sedih,” ujar Wenger.
Beliau menamatkan karier bola sepak ketika bersama Marseille pada musim 2017. Memberitahu kepada media, keputusan itu terpaksa di buat.
Diaby mengakui ia keputusan yang sukar namun terpaksa dilakukan memandangkan tiada kemajuan mengenai tahap kecergasan beliau.