
Ralf Rangnick dan Erik ten Hag menghabiskan dua jam berbincang keadaan skuad Manchester United yang bertukar pemerintahan di Old Trafford.
Rangnick menghabiskan setengah tahun sebagai pengurus sementara United selepas menggantikan Ole Gunnar Solskjaer pada pertengahan musim yang mengecewakan.
Beliau dijangka akan mengisi posisi sebagai perunding kelab pada musim panas ini, sebaik sahaja Ten Hag tiba untuk menggantikannya.
Bagaimanapun, Red Devils mengesahkan bahawa Rangnick tidak akan memegang jawatan itu.
Sebaliknya, akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranan baharunya sebagai pengurus pasukan kebangsaan Austria.
Walaupun ia menamatkan hubungan singkatnya dengan Ten Hag, bekas bos Jerman itu meluangkan masa dengan mengadakan perbualan yang panjang menerusi panggilan telefon.
Menurut Daily Telegraph mendakwa kedua-dua jurulatih itu bercakap mengenai keadaan skuad yang ditinggalkan kepada Ten Hag, yang mampu menduduki tempat keenam di liga musim lalu.
Perbincangan itu dikatakan berlaku selepas Rangnick kembali ke Jerman, manakala Ten Hag pula kembali ke Amsterdam susulan kekalahan 1-0 di tangan Crystal Palace pada hari terakhir Premier League.
Pastinya banyak yang perlu dibincangkan kerana Ten Hag perlu membina semula pasukan United sewaktu jendela perpindahan musim panas dibuka nanti.
Pertahanan United menjadi fokus utama, sementara mereka dijangka kehilangan beberapa pemain tengah termasuklah Paul Pogba, Nemanja Matic dan Juan Mata selain daripada beberapa penyerang lain.
Pengalaman Rangnick sebagai pengarah sukan mungkin berharga dalam mengemudi pasaran perpindahan dan mengenalpasti pemain untuk membawa kelab lebih maju.
Bagaimanapun, pihak atasan United merasakan beliau akan bergelut untuk mengorbankan enam hari yang diperlukan setiap bulan kepada pasukan.
Rangnick akan mengendalikan Austria untuk perlawanan pertamanya ketika mereka bertandang ke Croatia dalam pertadingan UEFA Nations League.
Mereka juga akan menentang Denmark dua kali dan juara dunia, Perancis dalam tempoh dua minggu akan datang.
Sementara itu, Ten Hag dan anak buah barunya berusaha untuk mengurangkan kesilapan dan menambah baik skuad United bagi memastikan mereka berada dalam landasan yang sebenar.
Beberapa pemain serangan yang menarik dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford termasuklah Darwin Nunez dari Benfica dan Christopher Nkunku dari RB Leipzig.
Untuk bek tengah, Pau Torres dari Villarreal kembali dalam radar manakala cubaan berani untuk mendapatkan N’Golo Kante dari Chelsea juga telah disebut-sebut.