by klasikko in
Premier League

Era Erik ten Hag di Manchester United telah bermula dengan penuh bergaya.

Liverpool adalah lawan pertama Red Devils dalam pra-musim dan pasukan Ten Hag mencatatkan kemenangan memberangsangkan ke atas saingan ketat mereka dengan jaringan 4-0.

Gol daripada Jadon Sancho, Fred dan Anthony Martial membolehkan United mendahului perlawanan 3-0 pada separuh masa pertama di Bangkok, Thailand.

Pada babak kedua, Facundo Pellistri melengkapkan kemenangan besar apabila pemain Uruguay itu menamatkan serangan balas hebat yang dicipta oleh Eric Bailly.

Berbeza pula buat Liverpool yang agak suram semalam.

Skuad kendalian Jurgen Klopp melakukan terlalu banyak kesilapan di pertahanan dan United bijak mengambil kesempatan pada separuh masa pertama.

The Reds kelihatan lebih baik pada babak kedua berikutan kemasukan beberapa pemain tetap pasukan utama, tetapi gagal menghasilkan sebarang gol.

Namun, pemain yang ditandatangani musim panas iaitu Darwin Nunez sepatutnya mencetak sekurang-kurangnya satu gol dalam debutnya.

Penyerang Uruguay itu dihadiahkan peluang yang agak mudah di dalam kotak selepas rembatan Mohamed Salah terkena tiang dengan percubaan lencong.

Malangnya, sepakan Nunez jauh tersasar melepasi palang dan bekas pemain Benfica itu telah dikecam hebat di media sosial.

Sudah tentu, peluang itu sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain yang berharga sekitar €100 juta.

Namun, ia tidaklah semudah yang disangka oleh sesetengah pihak.

Nunez terpaksa bertindak pantas dengan bola di kala Bailly menyerbu ke arahnya dalam percubaan terdesak untuk menghalang rembatannya.

Sungguhpun begitu, pemain berusia 22 tahun sepatutnya menyumbat bola ke dalam jaring.

Jika dia terlepas peluang seperti itu di Premier League, maka reaksi peminat bola sepak akan menjadi lebih buruk.

Share Post:

Related Posts