
Karier Darwin Nunez di Liverpool setakat ini ibarat sebuah roller coaster.
Selepas menandatangani kontrak dengan The Reds dengan bayaran yang berpotensi meningkat kepada rekod kelab £85 juta, mata dunia tertumpu pada pemain berusia 23 tahun itu ketika dia muncul dalam aksi pra-musim.
Sememangnya, Nunez merasakan tekanan dan melakukan penyudah yang buruk serta permainan yang kekok.
Dia agak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan rakan sepasukannya.
Dunia media sosial begitu pantas dan kejam apabila video kompilasi gagal Nunez dan penyerang muda itu menjadi bahan ketawa sejak perpindahan musim panas ke Merseyside.
Walaupun keadaan berubah sedikit apabila Nunez menjaringkan gol dalam kemenangan Perisai Komuniti ke atas Manchester City.
Layangan kad merah dalam debut pertamanya di Anfield menentang Crystal Palace menghilangkan semua momentum yang dibina sejak hari itu.
Sekembalinya dari penggantungan, Nunez pulang tanpa sebarang jaringan mahupun bantuan dalam lima penampilan berikutnya.
Dia jelas tidak selesa dalam persekitaran barunya dan kelihatan seperti rusa masuk kampung, terutamanya apabila diberikan peluang menjaringkan gol.
Namun begitu, dalam 4 perlawanan terakhirnya untuk The Reds, Nunez telah mengubah keadaan dengan menyumbang 4 gol.
Dalam temu bual dengan ESPN Uruguay, dia memuji Mohamed Salah kerana membantu memulihkan keyakinannya.
Salah dikatakan menelefon Nunez untuk berbual dan cuba menyampaikan beberapa nasihat untuk mengatasi cabaran menyertai kelab baharu.
“Salah adalah pemain yang cemerlang dan seorang insan yang baik hati,” kata Nunez.
“Apabila saya tiba di pra-musim, saya bercakap dengannya, kami menjadikan Fabinho sebagai penterjemah bahasa.
“Dalam perlawanan pertama itu, saya sangat gementar, saya tiba tanpa berlatih dan banyak perkara tidak menjadi untuk saya.
“Kemudian Mohamed memanggil saya untuk berborak, dia memberitahu saya bahawa saya perlu bertenang kerana saya masih baru, saya perlu menyesuaikan diri dengan kelab.
“Dia memberitahu saya bahawa dia juga melalui detik itu, apabila dia tiba pada 2017, dia tidak fasih berbahasa Inggeris.
“Dia menasihati saya bahawa saya akan mempelajarinya dan sekarang saya harus tenang.
“Dia juga mengatakan bahawa saya harus melakukan apa yang saya lakukan di Benfica, potensi saya adalah penting untuk pasukan serta menerima sokongannya dan kapten kelab.”
Ia adalah satu dorongan yang bagus daripada Salah yang jelas membantu Nunez dan pasukan.
Nunez telah menjaringkan gol dalam tiga aksi terakhirnya serta The Reds merasakan ketiadaannya kerana kecederaan amat memberikan kesan ketika mereka ditumpaskan oleh Nottingham Forest.