by admin in
Uncategorized

Di sekeliling kita ada banyak akademi bola sepak yang mengenalpasti bakat muda untuk dibangunkan pihak pengurusan mereka. Ia antara cabang untuk penghasilan pemain masa depan negara.

Masih ingatkah anda dengan akademi bola sepak Frenz United satu ketika dahulu. Akademi yang menghiasi kaca televisyen mengenai pembangunan bakat muda.

Akademi ini ditubuhkan oleh warga Singapura, Rashid Maidin seorang ahli perniagaan pada 2011 bertujuan untuk memacu nama Frenz menjadi antara akademi terbaik.

Permulaan

“Cita-cita paling utama Frenz ialah membentuk pasukan yang bertaraf dunia untuk bersaing di peringkat paling tinggi,” itulah ungkapan awal Rashid.

Sebidang tanah di Janda Baik telah dijadikan kawasan untuk penempatan Frenz United. Disitulah asrama para pemain, pusat latihan dan gelanggang rasmi perlawanan.

Frenz United bukan seperti akademi biasa yang menerima kemasukan secara ‘walk in’. Para pemain dipilih mereka sendiri dari pelbagai kejohanan bawah umur.

Mereka hanya memilih pemain yang berbakat dan kesemua mereka dikumpulkan di pusat mereka. Semua pelatih dihantar di sebuah sekolah swasta, SM Saleha di Genting Highland. Setiap pelatih diberi biasiswa hampir RM 80 000 setahun.

Budaya di akademi Frenz United, mereka menyediakan pelbagai kelengkapan yang professional untuk para pelatih menjadi seorang pemain bola sepak yang bercita-cita tinggi.

Bagi melonjakkan nama mereka di mata masyarakat, mereka menganjurkan Piala Antarabangsa Frenz (FIC) pada 2012 dengan penyertaan pasukan seperti Slovakia, Slavia Praha, Persepolis, Incheon FC, Chonburi FC, Frenz United Malaysia dan Indonesia serta skuad Malaysia.

Ia merupakan satu kejohanan bawah 14 tahun untuk memasarkan nama mereka di dalam dan luar negara. Kejohanan tersebut disiarkan siaran sukan nombor satu negara, Astro Arena dan segala sorotan turut disiarkan.

Ketika perasmian, Rashid berkata “Tujuan utama Frenz ialah untuk mengumpulkan satu pasukan yang dipenuhi pemain bertaraf dunia untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

“Akademi ini bermula apabila kumpulan pertama pemain muda direkrut daripada 52 pemain yang disenarai pendek daripada seluruh negara dengan usia sekitar 12 dan 13 tahun, mereka hadir ke sini pada Disember 2011.”

Edisi 2015 lebih hebat. Mereka berjaya menampilkan nama-nama besar seperti Estudiantes, Internacional, Porto, Liverpool, Besiktas, Tottenham Hotspur, Feyenoord, Kashima Antlers dan Gamba Osaka.

Ia disiarkan secara langsung dan tertunda di negara-negara tersebut. Malah perkembangan Frenz United semakin baik ketika itu.

Pengakhiran

Layang – layang takkan mampu terbang melayang tanpa bantuan angin, begitulah juga nasib Frenz United. Mereka gagal mencapai misi yang mereka cipta sendiri pada 2016.

Kejohanan antarabangsa Frenz gagal bertahan sekuat kejohanan bawah umur seperti Piala Iber dan Kejohanan Antarabangsa Mediteranean selepas Frenz mengumumkan mereka akan berehat dari landskap bola sepak tempatan.

“Saya akui kami mengalami kerugian yang agak besar selepas melabur hampir RM 30 juta sepanjang lima tahun untuk membangunkan akademi,” kata Rashid.

Masalah kewangan menjadi kekangan utama untuk Frenz United terus berkembang dan mungkin ia kelihatan terkubur. Harian Metro ketika itu melakukan satu pendedahan.

Frenz didakwa gagal menguruskan urusan harian para pelatih mereka membabitkan seramai 20 orang. Pelatih dikhabarkan terpaksa memasak sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka.

Malah latihan tidak diteruskan sepenuhnya kerana jurulatih telah melarikan diri ekoran tidak dibayar gaji selama enam bulan.

Walaupun pada awal 2016, Frenz menerima perkhabaran gembira apabila pemilik JDT, Tunku Ismail memegang 50 peratus daripada saham kelab tersebut, namun Frenz gagal meneruskan kelangsungan perjuangan.

Apa Yang Berlaku

Berat untuk diperkatakan kerana akademi seperti ini seharusnya mampu pergi jauh sekiranya mereka memiliki hubungan yang baik dengan pasukan di liga utama untuk membekalkan pemain kepada pasukan tersebut.

Jika terus menghasilkan pemain tanpa membekalkan mereka kepada pasukan besar, perkembangan akademi itu tidak akan mengalami kemajuan.

Share Post:

Related Posts

No Comments

Leave a Reply