
Bruno Fernandes memadam keraguan dalam kemenangan 2-1 Manchester United ke atas Liverpool di Old Trafford awal pagi tadi.
Pemain tengah Portugal itu menimbulkan kemarahan pemain, kakitangan kejurulatihan dan penyokong Liverpool.
Mana tidaknya, dia melambatkan permainan dengan menahan bola selepas Mohamed Salah menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-1 ketika berbaki 10 minit.
Fernandes membuang masa sebanyak mungkin tetapi ia adalah taktik berisiko memandangkan dia sudah dilayangkan kad kuning.
Pengadil perlawanan, Michael Oliver memilih untuk bersabar dengan karenah Fernandes.
Sesetengah pihak merasakan pengadil terlalu berlembut untuk tidak menghukum kapten United itu.
Selepas wisel panjang ditiupkan, Klopp sempat bersembang dengan Fernandes kerana tindakannya susulan gol saguhati dari Salah.
Bos Liverpool itu meluahkan perasaannya terhadap pemain No. 8 Man Utd selepas tamat perlawanan.
Dia meletakkan tangannya di leher pemain kebangsaan Portugal itu sambil berpura-pura mencekiknya.
“Ia bukanlah satu lakonan, ia adalah perbualan paling tidak berbahaya yang pernah saya ucapkan kepada pemain, yang jelas emosinya seperti saya,” kata Klopp kepada pemberita.
“Ia adalah situasi dengan [Lisandro] Martinez, yang jatuh di bawah terjahan ‘mengerikan’ yang jelas tiada apa-apa.
“Dia [Fernandes] membuat sedikit perkara, dia bercakap dengan saya dan berkata, ‘kamu akan melakukan perkara yang sama’.
“Tetapi tidak mengapa selepas itu, dia memberitahu saya dia memerlukan perbualan seperti ini. Okay, tak apa, gunakan saya!”
Fernandes akan berusaha untuk menemui semula prestasi terbaiknya musim ini selepas kempen 2021-22 yang mengecewakan.
Ditandatangani dari Sporting Lisbon dengan bayaran £47 juta pada Januari 2020, pemain tengah itu sebahagian besarnya cemerlang untuk Red Devils.
Tetapi dia bergelut dalam pasukan bersama rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo musim lalu.