
Manchester City mempamerkan persembahan yang hampir sempurna untuk aksi liga menentang Leeds United.
Tetapi wajah pengurus, Pep Guardiola bermuka merah padam di Elland Road.
Jaringan Rodri pada masa kecederaan babak pertama dan jaringan Erling Haaland memastikan tiga mata penting untuk penyandang juara.
Malahan, gol Pascal Struijk untuk Leeds tidak dapat menandingi kehebatan City.
Tetapi beberapa saat selepas jaringan saguhati Leeds, Guardiola cukup bengang dan menendang botol air di tepi padang.
Malangnya untuk bos dari Sepanyol itu, botol itu melayang ke arah bangku simpanan Leeds.
Dia bertindak balas dengan meletakkan tangan di atas kepalanya dan kemudian bergegas meminta maaf.
Secara keseluruhannya, Guardiola pasti berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang selesa melakarkan kemenangan 3-1.
Pasukannya mengumpul 26 percubaan ke arah gawang dan mendominasi penguasaan bola.
Guardiola berkata: “Kami bermain dengan sangat baik menentang pasukan ini di stadium ini. Kami membuat persembahan hebat pada separuh masa kedua, apabila mereka lebih terbuka.
“Selepas Piala Dunia, tiada siapa yang tahu bagaimana kami akan bertindak balas dan cara Leeds bermain kebelakangan ini. Hari ini, dengan bola, kami cemerlang.
“Hubungan antara Rico Lewis dan Rodri adalah cemerlang di tengah padang.”
Jurulatih City itu memberikan pujian khas untuk Haaland, yang mencapai 20 gol untuk musim ini selepas hanya 14 perlawanan.
Guardiola menambah: “Dia (Haaland) menjaringkan banyak gol tetapi dia boleh menjaringkan lebih banyak gol. Dia banyak membantu kami.”
Guardiola dan City akan berharap untuk terus memburu Arsenal apabila mereka melayan kunjungan Everton pada Malam Tahun Baru.