
Glen Johnson percaya penyerang Everton, Richarlison akan menjadi pemain yang ‘wajib’ untuk Chelsea tetapi berkata bekas kelabnya tidak seharusnya membayar lebih untuk pemain yang turut dikaitkan dengan Arsenal dan Tottenham.
Pemain antarabangsa Brazil, Richarlison dijangka meninggalkan Goodison Park pada musim panas ini dan telah menarik minat saingan London, Chelsea, Arsenal dan Tottenham.
Thomas Tuchel mahu meningkatkan pilihan serangannya berikutan penghujung kempen 2021-22 yang mengecewakan, manakala Mikel Arteta memerlukan sekurang-kurangnya seorang penyerang baharu berikutan pemergian Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette.
Sementara itu, Antonio Conte mahu memperkuatkan skuad Spurs menjelang kembalinya Tottenham ke Liga Juara-Juara dan turut menyatakan minat untuk mendapatkan penyerang Manchester City, Gabriel Jesus.
Richarlison, 25, telah menjaringkan 53 gol dalam 152 penampilan untuk Everton dan membantu The Toffees mengelak penyingkiran ke liga Championship musim lalu.
Ditanya sama ada Chelsea perlu melancarkan perpindahan untuk Richarlison, bekas pertahanan Blues Johnson memberitahu BettingOdds. “Saya pastinya percaya dia akan sesuai dengan cara Chelsea bermain lebih daripada Romelu Lukaku.
“Sama ada dia cukup bagus untuk menjadi pemain utama mereka dan mendapat 20 gol semusim, maka saya tidak begitu pasti.
“Saya memang menyukainya dan saya fikir dia seorang pemain yang bagus dan ia boleh menjadi langkah yang wajar jika bayarannya berpatutan.”
Penyerang Belgium, Lukaku kelihatan bersedia untuk meninggalkan Chelsea pada musim panas ini dan berminat untuk kembali ke kelab Serie A Inter Milan.
Sementara itu, Richarlison ditanya mengenai masa depannya di Everton awal bulan ini dan berkata: “Saya sudah menjelaskannya kepada lembaga pengarah.
“Saya sudah pun bercakap dengan (Frank) Lampard, dengan ejen saya dan mereka tahu apa yang saya mahukan. Jom tunggu Jun.
“Sekarang saya tidak boleh bercakap, kerana apabila kita bercakap tentang meninggalkan kelab, saya menjadi seperti ini, kerana sejarah yang saya ada di Everton, rasa sayang peminat terhadap saya. Apabila kita bercakap tentang pergi, saya sedikit terdiam.”