
Tottenham memulakan kempen Premier League dengan cemerlang apabila mereka memenuhi tuntutan pra-musim dengan kemenangan 4-1 ke atas Southampton.
Selepas ketinggalan dengan rembatan voli James Ward-Prowse, anak buah Antonio Conte bangkit mengubah persembahan yang agak menarik untuk membenam The Saints.
Mereka mendapat sedikit bantuan gol sendiri oleh Mohammed Salisu yang agak pelik tetapi sebenarnya Spurs lebih mengganas dan mendahagakan jaringan.
Ryan Sessegnon, Eric Dier dan Dejan Kulusevski menempah nama dalam jaringan yang pastinya menggembirakan hari penyokong Spurs.
Bagaimanapun, walaupun skor jaringan membuatkan mereka tersenyum, persembahan Kulusevski yang membuatkan mereka berseronok.
Ditandatangani pada Januari tahun ini, Kulusevski tidak pernah terlepas sebarang perlawanan dengan melibatkan dirinya dalam 14 gol untuk kesemua 19 penampilan kelab itu.
Dia berada dalam aksi yang hebat sekali lagi ketika melakukan kebangkitan yang luar biasa untuk memberi inspirasi kepada pasukan utara London itu sekaligus melakarkan kemenangan selesa.
Hantaran lintangnya untuk Sessegnon membuatkan Spurs dan dia terus mengucar-kacirkan pertahanan lawan sepanjang hari.
Kulusevski meraih tajuk utama lagi dengan penyudah rendah sambil membantu Tottenham mematikan permainan.
Kini, sorotan individu pemain kelahiran Sweden itu telah muncul dan seperti yang dibayangkan, ia adalah satu kepuasan untuk ditonton.
Malah, persembahan Kulusevski begitu baik sehingga menyebabkan ramai peminat membandingkan pembeliannya dengan bintang Liverpool, Luis Diaz.
Selepas aksi Liverpool merudum yang hanya seri pada hari pembukaan di Fulham, penyokong berpendapat Kulusevski adalah pemain yang jauh lebih hebat.
Kedua-dua pemain sayap itu ditandatangani pada masa yang hampir sama ketika jendelah perpindahan Januari lalu.
Sebenarnya Spurs terlepas mendapatkan pemain Colombia itu, sebaliknya mereka bersyukur dengan kehadiran Kulusevski ke London.
Ia sememangnya perdebatan yang menarik dan boleh mengheret sehingga sepanjang musim.