
Ethan Nwaneri memecahkan rekod pemain termuda dalam sejarah Premier League semalam.
Arsenal agak sedikit tempang dengan senarai pemain tercedera ketika ini.
Mikel Arteta terpaksa menamakan Nwaneri, hanya berusia 15 tahun dan 181 hari di bangku simpanan untuk perlawanan bertemu Brentford.
Arsenal cukup dominan di Stadium Komuniti Brentford.
Gol daripada William Saliba dan Gabriel Jesus memberi mereka kelebihan dua gol sebelum tamat babak pertama.
Rembatan deras Fabio Vieira dari jarak 25 ela empat minit selepas waktu rehat menjadikan kedudukan 3-0 selesa kepada pasukan pelawat.
Dengan Arsenal hampir mencengkam kemenangan, Arteta memutuskan untuk memberikan penampilan sulung kepada Nwaneri.
Dia menggantikan Vieira pada masa kecederaan untuk mencipta secebis sejarah di liga tertinggi England.
Peminat Gunners sangat bersemangat dan mengejek Brentford selepas pemain muda itu mula turun ke padang.
Menurut Charles Watts, penyokong Arsenal melaungkan nyanyian kepada Brentford: “Dia baru 15 tahun, dia baru 15 tahun, betapa teruknya kamu, dia baru 15 tahun”.
Ada juga kedengaran laungan: “Dia bersekolah pagi tadi!”
Ia adalah satu pencapaian terbesar untuk Nwaneri yang menjadi pemain pertama berusia 15 tahun bermain di Premier League.
Pemegang rekod sebelum ini ialah Harvey Elliott, berusia 16 tahun 30 hari ketika melakukan penampilan sulung untuk Fulham.
Arteta memberi penghormatan kepada pemain muda itu turun dalam penampilan pertama.
“Ia adalah perasaan yang tulen. Saya berjumpa dengannya, saya sangat menyukai apa yang saya lihat,” katanya kepada pemberita.
“Saya mendapat maklumat daripada Per dan Edu, dia berlatih bersama kami beberapa kali.
“Dia terpaksa menyertai kami kerana Martin (Odegaard) cedera dan saya mempunyai perasaan semalam bahawa jika peluang boleh datang, saya akan melakukannya. Dia berhak mendapatnya.”
Nwaneri adalah nama yang perlu diingati. Ia adalah perasaan yang sangat istimewa untuk membuat debut Premier League pada usia yang begitu muda.