by admin in
Premier League

Erling Braut Haaland, seorang budak era 2000 yang lahir di Leeds, England. Merupakan anak seorang bekas pemain bola sepak, Alf-Inge Håland.

Haaland mengakui beliau seorang penyokong Leeds United dan mempunyai impian untuk menang Premier League bersama kelab lagenda itu.

Walaupun boleh bermain untuk England, namun Haaland lebih banyak menyertai skuad kebangsaan Norway di pelbagai peringkat umur sehinggalah beliau memperoleh kaps untuk skuad senior Norway pada 2019 pada usia hanya 19 tahun.

Masih ingat seorang pemain menjaringkan sembilan gol dalam satu perlawanan Piala Dunia FIFA B20 tahun lalu? Ya pemain itu ialah Haaland. Beliau menjaringkan sembilan gol ketika Norway menewaskan Honduras 12-0.

Karier beliau bermula di sebuah kelab terpencil di Norway iaitu Bryne yang merupakan tempat beliau membesar. Kemudian beliau menyertai antara kelab terbaik di Norway iaitu Molde.

Kemudian beliau selangkah ke depan dengan menyertai jaguh Liga Austria, Red Bull Salzburg. Di sini karier beliau terus meningkat naik.

Beliau merekodkan sebanyak tiga kali hatrik bersama kelab tersebut. Musim 2019/20, beliau menjadi pemain muda kedua selepas Karim Benzema yang berjaya menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan awal di UEFA Champions League.

Dalam peringkat kumpulan sahaja, Haaland sudah menjaringkan lapan gol. Beliau menyamai rekod pemain hebat seperti Alessandro Del Piero, Serhiy Rebrov, Neymar, Cristiano Ronaldo dan Robert Lewandowski, menjaringkan gol dalam lima perlawanan berturut-turut.

Terbang Ke Dortmund, Utara Rhine-Westphalia

Semua mata kelab besar mula memerhatikan beliau dari pelbagai arah, mulalah usaha merisik dilakukan untuk mendapatkan beliau dan akhirnya, Borussia Dortmund berjaya mendapatkan tandatangan beliau pada kontrak. Kontrak selama empat tahun setengah.

Beliau digelar raja debut untuk masa ini Borussia Dortmund. Debut Bundesliga beliau nyata mengagumkan. Menentang Augsburg, masuk pada minit 56, dan menjaringkan hatrik dalam masa hanya 23 minit.

Haaland pemain kedua Dortmund merekodkan hatrik pada debut selepas Pierre Emerick Aubameyang. Dalam perlawanan kedua, Haaland juga masuk sebagai pemain gantian dan berjaya menjaringkan dua gol.

Ia sekaligus menjadikan beliau pemain pertama di Bundesliga yang menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan awal. Dalam DFB Pokal, beliau menjaringkan gol ketika debut beliau. Malangnya Dortmund tersingkir ketika itu.

Malam di Eropah pada pertengahan minggu sentiasa riang dengan lagu UEFA Champions League, ia juga hari riang untuk Haaland. Pada debut UCL beliau bersama Dortmund, Haaland menjaringkan dua gol untuk membantu Dortmund menewaskan Paris Saint-Germain 2-1.

Gol tersebut menjadikan beliau pemain terpantas untuk merekodkan 10 gol UCL dalam hanya tujuh perlawanan. Sekali lagi rekod untuk beliau.

Musim 2020/21, Haaland terus melakar sensasi apabila dua gol ketika bertemu Sevilla dalam UEFA Champions League menjadikan beliau memiliki 18 gol dalam 13 perlawanan, angka tidak masuk akal untuk pemain yang baru berusia 20 tahun.

Haaland adalah pemain yang masih muda, mampu untuk terus menyinar sekiranya kekal konsisten.

Share Post:

Related Posts

No Comments

Leave a Reply