by klasikko in
UEFA Champions League

Kostas Tsimikas bertungkus lumus untuk melakukan ‘clearance’ di atas garisan gol dalam perlawanan Liga Juara -Juara Liverpool menentang Rangers awal pagi tadi.

Bek kiri Greece itu berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan di Anfield dan bermain selama 90 minit penuh ketika The Reds melakarkan kemenangan 2-0.

Trent Alexander-Arnold menjaringkan gol pembukaan pada minit ketujuh menerusi sepakan percuma lencong dari jarak 25 ela.

The Reds diberikan penalti pada separuh masa kedua apabila Luis Diaz dijatuhkan di dalam kotak.

Mohamed Salah melangkah dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti melepasi gawang Allan McGregor.

Rangers mencipta serangan pada lewat permainan dan hampir memperoleh gol penyamaan apabila Rabbi Matondo berada dalam kawasan merbahaya Liverpool.

Hantaran lintang rendahnya hampir disudahkan ke dalam jaring kosong oleh Fashion Sakala. Bagaimanapun, kegigihan Tsimikas menafikan gol Rangers dengan cara yang cukup luar biasa.

Pemain pertahanan Greece itu melayangkan badannya ke udara dan entah bagaimana berjaya mengeluarkan bola ke atas palang dan keluar untuk tendangan sudut.

Tsimikas terbang ke dalam jaring sendiri dan mujurlah, tidak cedera. Dia bingkas bangun sambil dipuji oleh beberapa rakan sepasukannya.

Liverpool terus mendominasi perlawanan itu dan meraih tiga mata yang sangat layak bagi mereka.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp kini telah mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan pembukaan dalam Kumpulan A UCL.

The Reds berada di kedudukan kedua, tiga mata di belakang Napoli setelah membelasah Ajax 6-1 pada waktu yang sama.

Liverpool kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara minggu depan apabila bertandang ke Scotland untuk menentang Rangers sekali lagi.

Share Post:

Related Posts