by klasikko in
Piala Dunia

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Brazil, Adenor Leonardo Bacchi atau lebih dikenali sebagai Tite ditimpa musibah di kampung halamannya sendiri.

Menurut laporan Daily Mail, Tite menjadi mangsa rompakan ketika sedang bersiar-siar waktu pagi di Rio de Janeiro.

Kejadian jenayah itu berlaku pada hari Sabtu jam 06.00 pagi waktu tempatan.

Akibat kejadian itu, Tite kehilangan rantai lehernya dan “diceramah” oleh penjenayah rompakan tersebut.

Pencuri itu memarahi Tite di atas kegagalan pasukan kebangsaan Brazil pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Pencuri didakwa merampas rantai leher Tite sebelum mengadu tentang kegagalan Brazil,” tulis Daily Mail.

Seperti yang diketahui, pasukan kebangsaan Brazil merupakan antara kegemaran untuk menjuarai Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, impian Brazil ranap pada pusingan suku akhir.

Brazil tumbang selepas kekalahan mengejut kepada naib juara edisi lalu, Croatia.

Mereka berhempas pulas seri 1-1 sehingga masa tambahan sebelum Brazil dikejutkan dengan penentuan sepakan penalti.

Sejurus Brazil tersingkir, Tite mengotakan janjinya untuk berundur sebagai jurulatih pasukan Samba selepas Piala Dunia 2022.

Tite telah membimbing pasukan kebangsaan Brazil sejak 2016 dan antara kejayaannya membantu Selecao memenangi Copa America 2019.

Tite mengiringi Brazil pada 2018 (Rusia) dan 2022 (Qatar), tetapi sentiasa tewas di suku akhir.

Sebelum kalah kepada Croatia di Qatar, perjalanan Brazil berhenti di suku akhir Piala Dunia 2018 selepas ditumbangkan Belgium.

Sehingga kini, Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) masih belum menentukan pengganti Tite.

Bagaimanapun, sudah ada dua nama yang dicadangkan sebagai pengganti Tite iaitu Carlo Ancelotti dan Jose Mourinho.

Share Post:

Related Posts