
Fabrizio Romano menegaskan beliau tidak pasti sebarang kemas kini mengenai masa depan Cristiano Ronaldo walaupun penyerang Manchester United itu dikaitkan dengan Roma.
Kapten Portugal berkenaan kembali ke Man Utd musim panas lalu dan mengharungi musim yang hebat menerusi perolehan gol individu meskipun kelabnya terumbang-ambing.
Terdapat beberapa spekulasi bahawa Ronaldo mungkin akan berpindah lagi tahun ini.
Akan tetapi, Romano masih lagi tidak melihat perpindahannya ke Roma adalah langkah yang realistik.
Laporan mengejut dari La Repubblica menyatakan bahawa pengurus lama Ronaldo, Jose Mourinho mungkin berminat untuk membawa penyerang veteran itu ke Stadio Olimpico.
Namun, Romano percaya gaji pemain itu akan menjadi isu utama, manakala Roma juga gembira dengan Tammy Abraham di barisan serangan.
“Saya tidak mempunyai sebarang kemas kini mengenai masa depan Cristiano Ronaldo setakat hari ini,” akui Romano.
“Gajinya masih cukup tinggi untuk mana-mana kelab Itali dan saya tidak mengetahui sebarang rundingan untuk menggugurkan Cristiano daripada Manchester United.
“Erik ten Hag sudahpun mengadakan perbualan positif dengannya.
“Pada masa ini, AS Roma sangat bahagia dengan Tammy Abraham sebagai projek formasi 3-4-2-1 yang digunakan Jose Mourinho.”
Peminat United pastinya akan berasa lega dengan berita ini kerana Ronaldo kekal berbisa di hadapan gol musim lalu.
Manakala pengalaman dan mentaliti kemenangannya boleh menjadi tulang belakang untuk membantu pengurus baharu, Ten Hag memulakan kariernya yang kukuh di Old Trafford.