
Premier League 2022/23 kini tinggal kurang tiga minggu lagi.
Crystal Palace menjadi tuan rumah kepada Arsenal dalam perlawanan pembukaan kempen ke-31 EPL pada hari awal pagi Sabtu, 6 Ogos.
Mungkin kita akan melihat beberapa perkara yang kelihatan agak ganjil semasa pertandingan itu.
Ini kerana kedua-dua Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) dan Premier League telah mengubahsuai peraturan mereka sepanjang musim panas.
Satu perubahan yang telah diguna pakai sepatutnya diterima oleh peminat kerana memperkenalkan sistem baharu untuk cuba mengurangkan jumlah pembaziran masa semasa perlawanan liga utama.
Musim lalu, purata masa ‘ball-in-play’ dalam EPL adalah yang paling rendah dalam tempoh lebih sedekad, hanya mencatatkan 55 minit dan tiga saat setiap perlawanan.
Kesannya, ketua liga bercadang untuk menambahbaik angka itu kali ini.
Menurut Daily Mail, Premier League telah memberi lampu hijau kepada sistem penggunaan “bola baru”, dengan 10 bola perlawanan digunakan pada setiap perlawanan.
“Satu bola akan berada dalam permainan, satu dengan pegawai keempat dan lapan akan diletakkan di sekeliling padang pada setiap kon.
“Dua akan berada di belakang setiap gol dan dua di sepanjang setiap garisan tepi padang.
“Mereka di belakang gol (ball boy) mesti berkedudukan teratur supaya mereka tidak mengganggu sistem keputusan gol Hawk-Eye,” jelas Mail.
Selain itu, berikut adalah undang-undang baru yang cuba dilaksanakan di EPL musim baru nanti:
6. Lima pemain gantian setiap perlawanan

Semasa pandemik, pasukan dibenarkan membuat lima pemain gantian buat sementara waktu dalam satu perlawanan.
Pada asalnya ia direka untuk mengurangkan tekanan pada skuad ketika sekatan yang dikuatkuasakan kerana wabak COVID pada 2020, kini telah dijadikan peraturan tetap dalam EPL dan EFL.
5. Kedudukan penjaga gol untuk sepakan penalti

Sebelum ini, undang-undang menetapkan bahawa penjaga gol mesti memijak sekurang-kurangnya satu kaki di atas garisan apabila berdepan penalti.
Ia tidak akan berlaku lagi, kerana mereka dibenarkan untuk membiarkan kedua-dua kaki di belakang garisan.
Perubahan itu akan membolehkan penjaga gol bermula dari kedudukan yang lebih dalam bagi menjana momentum yang lebih besar apabila cuba melakukan penyelamatan.
4. Hanya penjaga gol yang dibenarkan memegang bola di dalam kawasan penalti

Sesuatu yang semua orang sudah sinonim, tetapi entah bagaimana ia tidak ditulis dengan jelas dalam peraturan bola sepak.
IFAB telah menyelesaikan perkara ini, dengan undang-undang menyatakan bahawa tiada siapa “kecuali penjaga gol dalam kawasan penalti mereka” boleh memegang atau mengutip bola.
3. Situasi ketika pemain tidak mampu mengawal emosi

Kita semua berharap bahawa tiada insiden yang melibatkan pemain yang menyerang peminat seperti yang dilakukan oleh Eric Cantona di Crystal Palace pada tahun 1995.
Bagaimanapun sekiranya ia berlaku, pengadil mesti memulakan semula perlawanan dengan sepakan percuma secara tidak langsung kepada pasukan lawan.
Sebelum ini, tiada apa-apa yang ditulis dalam undang-undang yang menerangkan cara untuk meneruskan permainan selepas insiden sedemikian.
2. Pengadil adalah pembaling syiling rasmi

Lambungan syiling wajib diadakan sebelum bermulanya perlawanan untuk menentukan pasukan mana yang akan menendang bola terlebih dahulu.
Namun sebelum ini, sesiapa sahaja boleh melambungkan syiling itu.
Maskot, fisio pasukan, malah penjual burger di dalam stadium juga sebenarnya dibenarkan kerana tiada peraturan rasmi yang menyatakan bahawa pengadil perlawanan perlu menjadi individu untuk membalikkan syiling.
Peraturan itu kini telah dirangka oleh IFAB supaya tanggungjawab itu terletak sepenuhnya pada pegawai rasmi.
1.Jurulatih, staf dan pemain boleh dibuang padang ketika penentuan sepakan penalti

Bukanlah peraturan yang akan menjejaskan Premier League musim ini (melainkan jika ada aksi play-off yang jarang berlaku untuk menentukan kejuaraan atau sesuatu).
Ini boleh memberi kesan kepada perlawanan kelayakan EFL untuk merebut slot ke EPL pada penghujung kempen.
Sekiranya pengurus, jurulatih atau wakil pasukan lain melakukan kesalahan semasa penentuan sepakan penalti, maka pengadil berkuasa untuk memberi layangan kad merah.